Dalam satu kenyataan di sini hari ini, Vui Keong yang bertanggungjawab dalam undang-undang berkata, demikian ketika merujuk kepada dakwaan campur tangan oleh hakim kanan dalam  penukaran agama satu pihak anak-anak M.Indira Gandhi dan kes hasutan bekas ahli Parlimen mendiang Karpal Singh.

Semalam, Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum dilaporkan berkata beliau mengambil maklum tentang dakwaan itu dan siasatan dalaman sedang dijalankan selepas kenyataan media berkaitan kedua-dua kes itu dikeluarkan.

Awal bulan ini, Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Hamid Sultan Abu Backer mendakwa beliau ditegur oleh seorang hakim kanan kerana menulis penghakiman menentang, dua tahun lepas dalam kes penukaran agama satu pihak anak-anak Indira.

Antara lain, Hamid menulis penukaran agama kanak-kanak berkenaan tidak sah disebabkan kebenaran daripada ibu mereka tidak diperoleh.

Beliau seterusnya mendakwa akibatnya, beliau tidak lagi ditugaskan untuk mendengar kes membabitkan kepentingan awam dan kes yang mempunyai kaitan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Insiden kedua berbangkit selepas Sangeet Kaur Deo, anak perempuan Karpal, membuat laporan polis berikutan catatan di laman sosial Facebook oleh peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla mendakwa terdapat campur tangan seorang hakim kanan dalam keputusan rayuan kes hasutan bekas pemimpin kanan DAP itu pada 2016. - Bernama