Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pihaknya menerima banyak pencalonan bukan sahaja daripada UMNO Selangor malah dari Majlis Tertinggi parti. 

Katanya, pihaknya juga akan mengambil kira cadangan-cadangan daripada luar UMNO bagi memastikan calon yang dipilih nanti boleh diterima pengundi setempat. 

"Kita tidak mahu mengambil orang luar tetapi konteks setempat (penduduk) tidak boleh menerima. Jadi, itu menjadi kriteria utama kita. 

"Misalnya orang setempat itu keluarga dia besar, di situ boleh dapat 1,000 hingga 2,000 (undi) sudah, jadi tidak menyusahkan kita," katanya pada sidang akhbar selepas program Bicara Minda bersama beliau anjuran Sinar Harian di Kompleks Karangkraf di sini hari ini. 

Beliau turut menjelaskan calon yang mempunyai masalah, tidak berintegriti serta kitar semula tidak akan dipilih atau ditapis kerana PRK tidak mempunyai banyak masa. 

"Kalau turunkan calon yang mempunyai masalah, 10 hari kita hendak bersihkan dan menerangkan pasal calon itu. 

"Kita mahu jentera terus bergerak dan bukannya kaki mereka tersangkut disebabkan tersangkut dengan pelbagai bebanan politik calon itu," jelasnya. - K! ONLINE