Pengarah SPRM Kelantan, Datuk Moh Samsudin Yusoff berkata, sebanyak lebih 30 pertuduhan akan dibuat terhadap suspek berkenaan dalam masa terdekat.

"Kita sudah mencadangkan kepada ibu pejabat dengan lebih 30 pertuduhan untuk kes ini yang kita anggap serius dan sensitif. Kes ini masih dalam semakan tetapi apabila ada surat izin mendakwa nanti kita akan buat pertuduhan di mahkamah.

"Saya harap kes ini akan beri pengajaran kepada masyarakat di Kelantan khususnya mengenai salah guna kuasa dan juga kesalahan mengemukakan tuntutan palsu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah (Operasi) SPRM negeri, Rostam Abu Hassan.

Moh Samsudin, 60, yang bertugas buat kali terakhir hari ini sebelum bersara selepas 36 tahun beliau bertugas bersama SPRM.

Beliau berkata, sepanjang lebih tiga tahun menerajui SPRM negeri, pihaknya telah berjaya membuka 167 kertas penyiasatan awal, membuat 30 tangkapan dan mendakwa 20 tertuduh di mahkamah setakat ini.

Katanya, kesalahan lazim di negeri ini kebanyakannya adalah berkaitan Seksyen 18 Akta SPRM 2009 berkaitan tuntutan palsu dan berlaku sama ada di sektor swasta mahupun awam.

"Saya dan para pegawai turun padang memberi kefahaman dari ketua jabatan kepada masyarakat peringkat bawahan supaya pendedahan sampai kepada semua.

"Saya sudah lebih 36 tahun berkhidmat, bagi saya usaha mencegah rasuah adalah sama dengan mencegah kemungkaran dan ia adalah satu ibadah yang wajib," katanya. - K! ONLINE