Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dr. Alias Razak berkata, pihaknya masih dalam rayuan dan rundingan dengan kementerian tersebut dan menyasar dapat melaksanakannya pada pertengahan tahun ini.

"Kementerian Kesihatan agak keberatan dengan alasan pemberian caj percuma tersebut akan menyebabkan lambakan di wad kelas tiga sehingga bilangan katil yang ada tidak mampu menampung kapasiti pesakit.

"Selain itu, kementerian juga bimbang ia akan meningkatkan kos pentadbiran kerana kakitangan perlu ditempatkan untuk menyemak bil pesakit sedang unit hasil hospital sedang mengalami kekurangan kakitangan," katanya ketika menjawab soalan lisan Alias Harun (Pas - Rantau Abang) pada Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu di sini hari ini.

Sehubungan itu Alias memberitahu, kerajaan negeri akan mengemukakan cadangan baru untuk menempatkan sendiri sekurang-kurangnya seorang kakitangan di setiap hospital awam negeri ini.

Menurut beliau, kakitangan yang digajikan kerajaan negeri Terengganu tersebut akan berperanan untuk menyemak bil pesakit dan menguruskan urusan pembayaran kepada pihak hospital terlibat.  - K! ONLINE