Beliau berkata, mesyuarat Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) di sini hari ini, mengambil maklum cadangan ahlinya supaya kerajaan mengambil inisiatif berkenaan kerana dilihat mampu mengurangkan kos pengurusan pengambilan pekerja asing.

Selain itu, katanya, ia juga dapat mengelakkan gangguan terhadap aktiviti perniagaan atau perusahaan yang menggunakan khidmat warga asing.

Bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat NLAC itu, Kula Segaran berkata, mesyuarat juga menerima cadangan supaya waktu kerja sektor swasta dikurangkan kepada kadar tertentu daripada tempoh 48 jam seminggu ketika ini.

"Cadangan-cadangan ini akan dibawa ke Kabinet dalam masa terdekat untuk pertimbangan lanjut," katanya. 

Kula Segaran dalam pada itu berkata, pindaan bagi menambah baik Akta Kerja 1955 dijangka dapat dibentangkan di Parlimen pada Oktober depan.

Penambahbaikan akta itu, yang kali terakhir dipinda pada 2013, akan melibatkan tujuh perkara penting antaranya mempertingkatkan perlindungan kepada pekerja, mengurangkan waktu bekerja dan menangani isu pekerja dipaksa bekerja, katanya.

"Kami masih memperincikan beberapa cadangan yang diterima yang ada antaranya memerlukan pandangan daripada orang ramai dan kerajaan," katanya, sambil menambah beberapa siri perbincangan berhubung pindaan itu dijalankan sejak enam bulan. - Bernama