Tidak perlu pergi jauh, analogi sebegitu boleh dilihat dari jendela persekitaran dunia media zaman ini. Telah banyak tahun, pengamal media khususnya cetak didedahkan de­ngan kajian, memperdebatkan secara kritis dan mengutarakan laporan tentang ancaman kepupusan kuasa percetakan atau penyiaran konvensional jika dibiarkan terperangkap dalam kelajuan teknologi digital serta laman sosial yang meroket kini.

Sebagai orang yang menumpahkan mata pencariannya terhadap surat khabar konvensional, bohonglah jika fakta-fakta sedemikian dan penutupan operasi banyak majalah yang dahulunya menjadi kegilaan pembaca tidak berbekas dalam fikiran. Begitu juga dengan jualan akhbar yang semakin menurun, kehilangan minat pengiklan meletakkan kempen promosi dalam surat khabar dan sebagainya.

Bagaimanapun, siapalah seorang pekerja biasa untuk bercakap hal-hal besar sebegitu. Senang cerita, itu masalah syarikat, bukan masalah pekerja. Jadi terus sahaja berdiri pada hakikat dan berjuanglah bermati-matian dalam ge­langgang sendiri.

Cuma baru-baru ini, seperkara yang selama ini tidak diendahkan berlegar dalam minda. Bayangkan selama hampir 12 tahun meninggalkan dunia penyiaran yang hanya sempat dihadam selama empat tahun diminta untuk melunaskan kerja-kerja penerbitan sebuah siaran langsung program televisyen terbitan syarikat surat khabar.

Tiba-tiba, terasa betapa ‘pernikahan’ media cetak dan elektronik sebuah paduan yang sangat mencabar tetapi menarik. Dengan sejalur asas penyiaran yang tidak di­aplikasikan dalam pekerjaan, sebuah team televisyen dibentuk daripada pekerja-pekerja yang selama ini bekerja sebagai penulis surat khabar. Mereka bukan sahaja menggilap bakat yang entah dari mana sebagai wartawan penyia­ran bahkan bertindak sebagai penerbit program sendiri di sebuah surat khabar.

Sebuah media yang selama ini bertahan mahu meneruskan tradisi cetak kerana percayakan pengikutnya masih ada, kini menyahut cabaran digital bukan hanya penerbitan online seiring zaman telah bersiap siaga untuk sama-sama memecut pada jalur akses dalam talian dengan bergaya.

Hari ini, akhbar kompak Kosmo! yang masih bertahan dengan edaran mencecah 200,000 mencatat sejarah peri­badi apabila melancarkan saluran TVKosmo!. Pengenalan program format televisyen yang boleh diakses dari laman sosial YouTube tersebut sebenarnya bukan sesuatu yang asing.

Di luar negara bahkan di dalam negara juga, sudah ada beberapa organisasi media cetak memulakan program versi televisyen digital dengan konsep yang tentunya harus mudah menangkap audiens.

Kosmo! juga sama, cuma yang membezakan nanti adalah keupayaan memberi ‘nyawa’ kepada ‘karakter’ TVKosmo! itu sendiri. Hujungnya nanti nyawa itu jangan sia-sia persis letupan bunga api penyeri langit sedia berbintang tetapi memberi manfaat yang besar, bukan hanya keperluan memuaskan kehendak ‘zaman viral’ masa kini bahkan menjadi penyambung nyawa kepada organisasi yang diwakili.

Mungkin enteng bagi kelompok yang telah mendahului trek sama, tetapi pecutan saat kemuncak yang diambil Kos­mo! hari ini moga-moga membuahkan hasil. Percayalah, ia bukan sekadar ikut-ikutan.

Sebagai individu yang percayakan kredibiliti serta pengaruh surat khabar, penulis fikir apa dicatatkan hari ini bukan sekadar anjakan baharu tetapi lebih ke arah inovasi syarikat untuk terjun dan mengorek masa depan di sebuah lombong emas yang dalam.

Entah apa lagi teknologi masa depan yang sedang dihadapi. Cabarannya bukan soal kemampuan tetapi bagaimana hendak bertahan. Selamat maju jaya Kosmo!