Ia juga merupakan salah satu sektor perniagaan yang paling banyak diceburi oleh usahawan Melayu dan bumiputera.

Mungkin kerana kos untuk masuk atau keluar daripada perniagaan jenis ini agak rendah dan mudah.

Dengan memanfaatkan sepenuhnya kemudahan dapur di rumah, sesiapa sahaja boleh menceburi perusahaan jenis ini untuk menambah dan mempelbagaikan punca pendapatan.

Bukan sedikit bilangan usahawan Melayu yang menghasilkan pelbagai jenis menu di rumah dan menghantar sendiri produk mereka kepada pelanggan.

Tidak kurang juga mereka yang lebih komited dan sanggup membuka gerai atau berniaga makanan dan minuman secara sambilan di pasar malam.

Bagi penulis, semua ini membuktikan kaum Melayu sebenarnya bukanlah pemalas seperti yang suka digambarkan oleh sesetengah pihak.

Bagaimanapun pengusaha F&B kini berdepan situasi yang cukup getir. Kenaikan kadar gaji yang tidak sepadan dengan peningkatan kos sara hidup sekarang membuatkan lebih ramai pengguna memilih untuk hidup berjimat-cermat.

Ini belum ditambah dengan rancangan untuk menaik tarif air dan pelaksanaan subsidi petrol RON95 secara bersasar yang tentu sahaja akan menaikkan harga jualan bahan api tersebut.

Malah seorang peniaga restoran memberitahu sejak enam bulan lalu, perniagaannya merosot antara 20 hingga 30 peratus.

Menerusi perbualan penulis dengan beberapa orang veteran dan pemain industri, terdapat beberapa langkah atau cadangan yang mungkin boleh dimanfaatkan pengusaha kecil-kecilan atau mereka yang baru mula berjinak-jinak dalam bidang ini.

Pertama, sentiasa lakukan inovasi dan pembaharuan. Perkenalkan menu-menu baharu dan cuba wujudkan keterujaan terutamanya dalam kalangan pelanggan tetap untuk terus membeli.

Dalam industri yang serba dinamik, pengusaha yang statik dan hanya menawarkan produk sama sukar kekal lama.

Pengenalan produk baharu bukan hanya dapat membantu mengekalkan pelanggan sedia ada, malah menarik pelanggan baharu.

Kedua, wujudkan nilai yang baik untuk pe­langgan. Orang ramai kini mencari jalan untuk berjimat dan peniaga perlu mewujudkan satu perasaan atau tanggapan kepada pelanggan bahawa mereka dapat berjimat sekiranya membeli dengan kita.

Peniaga boleh memperkenalkan pakej baharu, misalnya yang berserta dengan minuman atau pencuci mulut. Pakej dengan kuantiti makanan bersaiz kecil atau besar juga boleh dipertimbangkan.

Ketiga, cuba bangunkan sistem untuk menghargai pelanggan tetap, yang merupakan antara aset utama bagi perniagaan jenis ini.

Cuba wujudkan hubungan baik dengan mereka, tambah sedikit lauk atau menu sampingan untuk mereka secara berkala atau buat prog­ram kesetiaan.

Paling utama ialah peniaga perlu cekal dan tabah menghadapi cabaran kerana meskipun langit tak sentiasa cerah, awan juga tak selalu mendung.