Menurut Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pantai, Hamid Daud, pihaknya menerima panggilan kecemasan tentang kejadian tersebut pada pukul 1.43 petang dan seramai 10 anggota serta sebuah jentera dan juga kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dari BBP Pantai dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, kami mendapati mangsa, Hoque Aynal, 41, berada dalam keadaan terbaring dengan sebatang besi cerucuk konkrit menembusi bahagian perutnya.

“Difahamkan, ketika kejadian, mangsa yang bekerja sebagai buruh pembinaan di situ sedang melakukan kerja pemindahan besi cerucuk konkrit dengan menggunakan kren,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya lagi, anggota bomba telah menjalankan kerja-kerja mengalihkan timbunan besi cerucuk konkrit di tempat kejadian bagi memudahkan operasi berkenaan dan pasukan perubatan dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) yang berada di lokasi kejadian mengesahkan mangsa telah maut di situ. - K! ONLINE