Perjalanan ke sana sebenarnya hampir dibatalkan kerana sewaktu berada di balai berlepas di Terminal Penerbangan Tambah Murah, Sepang, Selangor, kumpulan wartawan Malaysia tiba-tiba mendapat berita Jakarta digegarkan dengan pengeboman berani mati di Hotel JW Marriot dan Ritz-Carlton.

Sebaik tiba di Jakarta, kami dikenakan perintah berkurung di dalam hotel selama sehari.

Penulis bagaimanapun nekad keesokan harinya mengambil teksi untuk ke lokasi kejadian di kawasan Mega Kuningan untuk menyaksikan sendiri situasi sebenar di sana.

Yang pasti, sepanjang empat hari membuat liputan acara APM dan secara kebetulan pengeboman di dua buah hotel itu, satu perkara yang paling menarik perhatian penulis ialah kesesakan dan kepadatan kota Jakarta.

Dengan ‘isi perut’ penduduk Jakarta melebihi angka 10 juta orang, penghuni kota itu sebenarnya datang dari seluruh pelosok daerah dan kepulauan negara tersebut demi meraih rezeki.

Golongan perantau yang kurang berkemampuan membina kediaman di pelbagai lokasi asalkan berdin­ding dan berbumbung.

Malah, jangan terkejut jika sewaktu menaiki kereta melalui jalan atau lebuh raya bertingkat, anda boleh melihat deretan rumah dibina dengan hanya berdin­dingkan papan lapis dan berbumbungkan lantai jalan raya bertingkat itu.

Ahad lalu, kita dikejutkan dengan berita penangkapan sekumpulan lebih 46 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Kepulauan Flores, Indonesia yang membina rumah haram di dalam hutan di lereng bukit Desa Park City di Kuala Lumpur.

Demi survival, PATI itu mengetepikan soal keselamatan, keselesaan, kesihatan dan undang-undang negara lain demi mengisi perut untuk terus hidup.

Jauh di dalam hutan itu bukan masalah, malah binatang buas atau nyamuk juga bukan halangan asalkan mereka boleh mencari rezeki.

Namun, di sebalik PATI yang membina sehingga 30 deret rumah kayu di atas bukit Desa Park City itu, usah dilupakan hakikatnya ratusan malah jutaan PATI lain sebenarnya hidup selesa di tengah hutan konkrit baik di Kuala Lumpur, mahupun di bandar raya lain di seluruh negara.

PATI di dalam hutan memang mudah dikenal pasti pendatang haram kerana sudah terang lagi bersuluh mereka berada di dalam hutan kerana enggan dikesan pihak berkuasa.

Namun, bagaimana pula PATI yang bermaharajalela di tengah kota dan menjalani kehidupan dicelah-celah warga tempatan serta bercampur-campur pula dengan pekerja asing lain yang mempunyai permit pekerjaan.

Bayangkan jutaan PATI di Malaysia langsung tidak mempedulikan program Enforcement Kad atau EKad yang diperkenalkan oleh Jabatan Imigresen bagi membolehkan mereka terus bekerja secara sah di negara ini.

Ia dipandang sepi apabila daripada sasaran 600,000 ditetapkan imigresen, hanya sekitar 155,688 PATI membuat pendaftaran E Kad.

Teringat penulis dalam satu tugasan menemu bual pekerja Nepal di Ampang beberapa tahun lalu, penulis bertemu dengan dua warga Bangladesh di dalam rumah flat yang padat dengan lebih 15 penghuni itu.

Bila ditanya mengapa menyorok pada awalnya, dua pekerja kedai jahit itu mengakui sudah lapan tahun hidup di Malaysia tanpa permit. Bayangkan selama 2,920 hari dia berjaya hidup di negara ini tanpa ditangkap, dan tidak mustahil sebenarnya ramai PATI yang sudah beranak-pinak di bumi Malaysia.