Sudah tentunya juga rezeki tidak halal ini tidak akan habis dimakan sehingga beberapa keturunan pemakan rasuah. 

Bagaimana rahsia jenayah itu boleh tertutup rapat serta tersimpul mati sehinggakan tidak ada seorang manusia yang perasan modus operandi mereka sebelum ini? Selepas ‘beberapa kali kenyang’ barulah tem­belang perasuah terbongkar dan dibongkar. Cuma pemberi rasuah masih tinggal misteri.

Boleh jadi si pelaku itu bijak dan licik dengan me­rasuah semua orang sehingga insan yang mendapat habuan terpijak terpaksa membisu seribu bahasa. Kata bijak pandai, antara yang boleh menghancurkan masa depan bangsa dan negara adalah rasuah. Era sekarang, semua benda boleh digunakan untuk merasuah orang termasuk wanita cantik.

Individu yang terima habuan itu sudah tentu mempunyai impian hendak hidup senang sampai ke anak cucu tanpa perlu bekerja keras siang dan malam serta pagi dan petang. Bagaimana pula dengan insan yang memberi rasuah? Ini yang bahayanya kalau niat si pemberi rasuah mahu melihat negara ini hancur atau nama baik pihak berkuasa atau seseorang yang ‘tinggi makamnya’ musnah sekelip mata.

Duit berjuta-juta itu boleh menyebabkan banyak orang ‘gelap mata’ sehingga tidak dapat  membezakan antara yang halal dan haram. Lantaran itu, sepatutnya sudah lama pemberi dan penerima rasuah dibanteras sama sekali sehingga ke akar umbi.

Virus rasuah ini jangan sekali-kali dibiarkan hidup dan wajib dihapuskan serta diburu sehingga ke liang lahad.

Bagaimanapun menuduh orang rasuah memang mudah tetapi untuk mendakwa dan membuktikan tuduhan itu satu kerja yang amat sukar. Kata orang ‘pandai makan pandai simpan’. Inilah yang menyebabkan kerja jahat itu kadang-kadang sulit untuk dibongkar.

Dalam zaman rasuah ini, tidak ada istilah jangan jaga tepi kain orang. Masanya sudah sampai, bantulah pihak berkuasa dan kerajaan untuk menghukum mereka yang jadi jutawan dengan cara makan duit rasuah. Bongkar rahsia mereka, dedah tembelang mereka. Bantu pihak berkuasa, barulah misi hapuskan budaya rasuah tercapai.

Tugas murni ini tidak boleh diletakkan di bahu pihak berkuasa semata-mata. Mahukah kita melihat jutawan rasuah ini terlepas begitu sahaja hanya disebabkan kekurangan dan kelemahan bukti yang pihak berkuasa ada?

Dalam waktu yang sama juga, jangan kita lupa pada tukang beri rasuah. Kalau spesies ini tidak wujud di planet ini, tidak mungkin ada pemakan rasuah. Memang kita akui, amalan rasuah ini bukan terjadi di tanah air kita sahaja. Di negara-negara lain boleh jadi lebih teruk lagi.

Masalahnya, di bumi Malaysia ini, sejak kebelaka­ngan ini, budaya makan duit rasuah juta-juta ini semakin berleluasa dan semacam satu trend pula.

Hampir setiap hari ada ceritanya, ada kisahnya. Mungkin pemakan rasuah dan pemberi rasuah sudah tidak pandang angka ribu.

Amalan songsang pemusnah bumi dan perosak bangsa ini yang kita takut tular di laman sosial dan menular dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

Kalau tidak ada insan atau pihak berkuasa yang berani sekat tabiat buruk itu daripada kembang biak, lambat laun ia pasti menjadi barah yang akhirnya nanti meranap dan memakan kita sendiri dan negara tercinta ini.