Pada pukul 9.05 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 0.12 mata kepada 1,756.26 daripada 1,756.38 sewaktu ditutup pada Jumaat minggu lepas.

Indeks itu dibuka 5.23 mata lebih tinggi kepada 1,761.61.

Pada pasaran lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 146 berbanding 96 manakala 144 kaunter tidak berubah, 1,515 kaunter tidak diniagakan dan 22 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 107.64 juta unit bernilai RM69.39 juta.

Peniaga berkata, rundingan perdagangan AS-China yang berakhir tanpa sebarang pengumuman mengenai hasil keputusan telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pelabur.

Pegawai kerajaan China enggan memberikan komitmen bagi membeli lebih banyak barangan AS tanpa perjanjian  pentadbiran oleh Presiden Donald Trump untuk tidak mengenakan tarif seterusnya ke atas eksport China.

"Sekiranya AS memperkenalkan langkah perdagangan, termasuk kenaikan tarif, semua keputusan ekonomi  dan perdagangan yang dirundingkan oleh kedua-dua pihak tidak akan berkuat kuasa," katanya peniaga.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank turun dua sen kepada RM10.02, TNB kurang empat sen kepada RM14.46, Public Bank naik enam sen kepada RM24.06, Petronas Chemicals meningkat tujuh sen kepada RM8.20 dan CIMB Group menokok empat sen kepada RM6.14.

Saham aktif, MyEG merosot 16 sen kepada 70 sen, Ewein naik 3.5 sen kepada 74.5 sen, Berjaya Corporation bertambah setengah sen kepada 30 sen dan Sapura Energy turun satu sen kepada 57.5 sen.

Indeks FBM Emas turun 2.01 mata kepada 12,233.89, Indeks FBMT 100 susut 3.92 mata kepada 12,050.04 dan Indeks FBM Emas Syariah kurang 5.10 mata kepada 12,215.11.

FBM 70 turun 15.52 mata kepada 14,426.64 dan FBM menguncup 4.20 mata kepada 5,045.35.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan meningkat 26.39 mata kepada 17,643.42, Indeks Perladangan merosot 34.47 mata kepada 7,665.79 dan Indeks Perusahaan turun 8.87 mata kepada 3,155.95. - Bernama