Pada pukul 12.30 tengah hari, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.50 mata kepada 1,787.97 berbanding 1,783.47 pada penutupan Jumaat lepas.

Indeks bergerak antara 1,782.74 dan 1,789.24 di sepanjang sesi pagi selepas dibuka 0.96 mata lebih kukuh pada 1,784.43.

Petronas Chemicals merupakan kaunter paling untung menokok 34 sen kepada RM9.48, diikuti BAT yang menambah 20 sen kepada RM36.10 manakala Hong Leong Financial Group meningkat 14 sen kepada RM17.96.

Seorang peniaga berkata, Bursa Malaysia menjejaki prestasi kukuh bursa serantau hari ini, berikutan petunjuk prestasi positif Wall Street Jumaat lepas, dengan pelabur menerima baik tanda-tanda kemajuan dalam menamatkan ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China.

Presiden Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping akan bertemu pada November bagi membincangkan pertikaian perdagangan masing-masing.

Di bursa serantau, Indeks Straits Times Singapura meningkat 0.24 peratus kepada 3,217.03, Indeks Hang Seng Hong Kong menokok 0.90 peratus kepada 27,457.66 dan Indeks Komposit SSE China meningkat 0.11 peratus kepada 2,671.93.

Berdasarkan kedudukan pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 417 berbanding 335 manakala 377 kaunter tidak berubah, 756 tidak diniagakan dan 27 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.18 bilion unit bernilai RM851.41 juta.

Antara kaunter wajaran tinggi, Maybank menokok tiga sen kepada RM9.81, Public Bank meningkat dua sen kepada RM24.52, manakala TNB tidak berubah pada RM15.70 dan CIMB susut satu sen kepada RM5.88.

Bagi kaunter aktif, Hibiscus Petroleum meningkat 4.5 sen kepada 98.5 sen, Sapura Energy menambah setengah sen kepada 58.5 sen, manakala PriceWorth International susut satu sen kepada 6.5 sen.

Indeks FBM Emas menambah 28.77 mata kepada 12,648.34, Indeks FBMT 100 menokok 30.71 mata kepada 12,420.11 manakala FBM 70 meningkat 35.97 mata kepada 15,419.43.

Indeks FBM Emas Shariah meningkat 28.77 mata kepada 12,648.34 dan Indeks FBM Ace menambah 9.58 mata kepada 5,561.98.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan meningkat 32.73 mata kepada 17,421.52 dan Indeks Perusahaan menambah 6.84 mata kepada 3,239.74. Indeks Perladangan bagaimanapun susut 63.93 mata kepada 7,563.26. - Bernama