Kejadian kira-kira 7.20 petang itu juga menyebabkan rumah mereka nyaris terbakar apabila berlaku percikan api daripada tiang elektrik berdekatan hampir menyambar rumah.

Seorang mangsa, Wan Napisah Wan Jaafar, 35, berkata, ketika kejadian dia bersama ahli keluarga yang lain sedang berehat di ruang tamu rumahnya dan terdengar bunyi angin kuat.

Katanya, tiba-tiba rumahnya bergegar kuat sebelum dia mengarah semua ahli keluarga  keluar menyelamatkan diri masing-masing menerusi pintu dapur kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini.

“Ketika kejadian itu hanya ribut sahaja dan lima minit kemudian disusuli dengan hujan renyai.

“Bagaimanapun, kami bersyukur kerana semuanya selamat dan kami juga terus menghubungi Tenaga Nasional Bhd (TNB) selepas melihat api yang keluar dari sambungan dawai di sebatang tiang dekat  rumah," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, ibunya, Zaiyah Aris, 67, pula berkata, ketika kejadian dia sedang menghiris daging di luar bahagian dapur rumahnya untuk persiapan memasak makan malam.

Katanya, apabila terdengar bunyi jeritan supaya lari menyelamatkan diri, dia turut bergegas lari mengikut anak tanpa mengetahui perkara sebenar yang berlaku.

“Saya bersyukur ahli keluarga terselamat dan tidak tercedera dalam kejadian itu. Selain rumah kami, empat lagi rumah di kampung ini  mengalami kerosakan bumbung.

“Setakat ini bumbung yang tercabut itu belum dibaiki dan laporan akan dibuat di pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Gua Musang dalam masa terdekat ini," katanya. - K! ONLINE