Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, buku tersebut merupakan inisiatif Quick Win di bawah Pelan Tindakan Bersepadu E-Dagang yang memberi panduan kepada peniaga dalam talian yang telah atau akan memulakan perniagaan berkaitan senarai semak yang perlu ada sebelum melakukan sebarang transaksi. 

“Selaku kementerian yang bertanggungjawab melindungi kepentingan pengguna, buku panduan ini memberi pelbagai tips dan cara untuk menjalankan perniagaan dalam talian dengan beretika kerana aduan penipuan mengenainya semakin meningkat dan membimbangkan.

“Sehingga Mac tahun ini, kementerian telah menerima sejumlah 24,000 aduan pengguna dengan 30.8 peratus daripadanya berkaitan harga, transaksi dalam talian (23.7 peratus) dan perkhidmaan mengelirukan (16.2 peratus),” katanya pada sidang akhbar selepas majlis perhimpunan bulanan KPDNHEP dan pelancaran buku tersebut di sini hari ini.

Menurut Saifuddin, buku panduan itu akan diedarkan secara percuma dan dimuat naik dalam portal KPDNHEP bermula Isnin depan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya bercadang mahu menaikkan kadar penalti bagi kesalahan melibatkan penipuan dalam talian.

“Had maksimum penalti bagi sesuatu kes yang diselesaikan adalah  RM25,000 sedangkan trend penipuan dalam talian semakin meningkat.

“Kita sedang dalam proses mahu meningkatkan jumlah denda kepada RM50,000 bagi menimbulkan gerun kepada peniaga yang berhasrat untuk melakukan penipuan,” katanya. - K! ONLINE