Asasnya, tugas wakil rakyat ialah memberi perkhidmatan sebaik mungkin buat rakyat selain mewakili mereka di Parlimen. Mereka perlu sentiasa kelihatan ada dan bersedia untuk berkhidmat.

Wakil rakyat yang gagal ialah kalangan yang melihat tugasnya dalam skop politik semata-mata tanpa meletakkan dirinya sebagai rakyat yang sentiasa memerlukan apa sahaja daripada pemimpin. 

Bukan sedikit wakil rakyat yang ‘ghaib’ tetapi tiba-tiba menjadi mesra dan muncul menjelang pilihan raya se­perti juga pada awal kemunculan­nya yang menghamburkan pelbagai bentuk janji di sana sini tetapi gagal melunaskannya.

Menjadi wakil rakyat juga bukan sekadar beria-ia memenuhi hasrat parti untuk mencapai majoriti tertentu dalam Parlimen tetapi gagal berkhidmat dengan baik. Ia juga tidak boleh dilihat sentiasa membisu seribu bahasa dalam institusi itu melainkan hanya mampu mengangkat tangan tanda setuju atau membangkang rang undang-undang tertentu yang dibentangkan.

Menjadi seorang wakil rak­yat kini tidak seperti dekad yang lalu. Kesedaran rakyat terhadap peranan dan keberkesanan wakil mereka pula  sudah semakin celik dan me­ningkat.

Dunia kini semakin moden dan tanpa sempadan. Pemantauan terhadap gelagat dan khidmat wakil rakyat bukan sahaja bersumberkan maklumat konvensional malah di alam siber.

Cabaran rakyat pula ialah menapis dan menilai dengan baik maklumat-maklumat yang mereka dapat bukan sekadar lontaran-lontaran retorik atau berdasarkan dapatan di pentas-pentas ceramah semata-mata.

Biasanya mereka tidak sukar untuk membuat penilaian jika wakil rakyat benar-benar berkhidmat dengan baik dan sentiasa berwibawa biarpun kurang kelihatan bertali leher atau berkot.

Bagaimanapun adalah sesuatu yang dikesalkan apabila corak sokongan dalam sesuatu kawasan luar bandar misalnya menjadi berubah ketika golongan muda yang berlainan ideologi pulang me­ngundi.  

Ironinya, selepas selesai me­ngundi golongan muda ini pulang ke bandar meninggalkan kepimpinan di kampung mengikut kehendak mereka yang ko­nonnya  lebih berinformasi.

Wakil rakyat di bandar-bandar juga sentiasa diperhati dan dinilai walaupun umum­nya kemudahan di kawasan-kawasan tersebut sudah lengkap.  

 Tidak dinafikan, di Malaysia ketika ini, corak penilaian ke atas wakil rakyat atau calonnya di bandar-bandar adalah pada batang tubuh atau parti yang diwakili bukan isu kemudahan di kawasan-kawasan berkenaan.

Bukanlah sesuatu yang menghairankan, seseorang wakil rakyat di bandar  boleh dikira jumlah penampilannya kerana kewujudannya hanya kerana memenuhi kehendak sasaran penguasaan parti yang diwakili di bandar-bandar di peringkat nasional.

Sesama Kita - Justeru buatlah pilihan terbaik pada pilihan raya umum yang muncul tidak lama lagi ini. Undi kita sebagai rakyat adalah penting bukan semata-mata meletakkan tanda pangkah pada kertas undi.

Orang kata, pilihan raya kali ini adalah ‘ibu pilihan raya’ ekoran pelbagai isu yang timbul dan kepelbagaian ideologi dan  parti yang bertanding. 

Undi yang diputuskan bukan sekadar sentimen ke atas kepartian semata-mata tetapi juga rekod perkhidmatan atau ‘kad laporan’ parti yang bertanding.

Pengundi tidak sepatutnya membiarkan diri terpengaruh dengan sikap sesetengah pihak yang membunuh karakter atau watak pemimpin atau calon yang bertanding demi mencapai tujuan-tujuan ter­tentu.

Pada akhirnya, apa yang penting ialah faedah atau manfaat yang rakyat dapat melalui negara yang makmur dan maju serta ditunjang oleh kalangan  pemimpin yang berwibawa  bukan juara pentas ceramah dan bermodalkan air liur semata-mata.