Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Yusof Ahmad berkata, bagaimana mereka yang tiada asas Islam dan tidak percaya pada Islam boleh menentukan apa yang baik untuk agama itu.

“Saya dari awal apabila dapat (pesanan) WhatsApp berkenaan perkara itu tertanya mengapa orang bukan Islam pula mahu tentukan hal-hal berkaitan Islam.

“Mereka mungkin akan berfikir mengikut akal fikiran sahaja sedangkan orang Islam perlu juga mengikut peraturan dan ilmu seperti akidah dan amalan-amalan.

“Memang tidak patut dan tidak wajar jika orang bukan Islam diambil pandangan mereka bersama untuk tambah baik hal berkaitan pendidikan Islam,” tegasnya pada sidang media selepas merasmikan pembukaan Restoran Nasi Kandar Liga Maju di sini hari ini.

Mohd. Yusof berkata, jika perkara itu diteruskan bakal menimbulkan lebih banyak pertentangan pendapat berhubung ajaran Islam yang sebenar.

Menurut beliau, masyarakat sesama Islam mempunyai perbezaan pendapat dalam bab akidah dan masalah itu akan menjadi lebih teruk apabila pendapat bukan Islam turut diambil kira. - K! ONLINE