Dalam serbuan pada pukul 2.50 petang tersebut suspek berusia 36 tahun dan berasal dari Semenanjung itu ditangkap pasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah Keningau.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek telah menetap selama 13 tahun di negeri ini dan memiliki lesen perniagaan menjual barangan kosmetik, beg dan barangan elektrik sejak tahun 2008.

"Bagaimanapun, berselindung disebalik nama kedai berkenaan lelaki itu didapati turut menjual senapang angin, peluru jenis buckshot dan pellet timah yang dibeli dari sempadan Mansalong, Indonesia melalui dua lelaki tempatan yang bertindak sebagai orang tengah.

"Setiap laras senapang angin dijual pada harga antara RM300 hingga RM700 mengikut jenis manakala peluru Buckshot pula berharga RM10 sebutir dan RM3 bagi satu kotak kecil pellet," katanya pada sidang akhbar d IPK Sabah di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Siasatan Jenayah IPK Sabah, Asisten Komisioner Jauteh Dikun dan Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Supuritendan Ahmad Jawila.

Tambah Omar, susulan tangkapan suspek pertama telah membawa kepada penahanan empat lagi lelaki berusia antara 29 hingga 40 tahun bermula pada 6 hingga 13 September lalu.

Kesemua suspek kini direman bermula antara 7 hingga 18 September depan untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 7 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971 dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960. - K! ONLINE