Memetik peribahasa Melayu 'duduk sama rendah, berdiri sama tinggi', Setiausaha Politik Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya menegaskan budaya sedemikian seharusnya tidak boleh dipandang ringan kerana ia akan mencorakkan cara hidup rakyat serta hala tuju negara pada depan. 

"Kita ini (rakyat) berbilang kaum dan agama dan tinggal di negara ini sejak sekian lama. Ke mana lagi kita nak pergi dan berbakti kalau tidak kepada tanah tumpah darah ini.

"Maka pentinglah bagi kita ketepikan ego dan tidak meniupkan sentimen perkauman. Ingatlah, nasib generasi muda kita akan datang bergantung kepada apa yang kita buat pada hari ini, hormatilah Perlembagaan yang ada," katanya.

Abu Bakar berkata demikian ketika berucap merasmikan Kejohanan Seni Bela Diri Taekwondo Sekolah-Sekolah Kementerian Pendidikan Peringkat Negeri Selangor Ke-4, di Dewan Sukan Sri Andalas, di sini hari ini.

Kejohanan selama sehari anjuran Persatuan Seni Bela Diri Taekwondo Malaysia itu disertai 200 sekolah yang terdiri daripada sekolah rendah dan menengah dari sembilan daerah di Selangor.

Dalam pada itu, Abu Bakar yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) turut menyampaikan salam hormat Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada semua peserta selain meminta mereka mencontohi semangat serta budaya kerja yang diamalkan Perdana Menteri itu. 

"Perdana Menteri baharu sahaja menyambut ulang tahun kelahiran pada usia 94 tahun. Pada usia sedemikian, beliau bekerja keras dan bersemangat untuk membina negara dan memperkasakan anak bangsa.

"Kita mempunyai model kepimpinan serta budaya kerja yang positif seperti yang ditunjukkan Perdana Menteri. Maka eloklah kita ambil contoh dalam bersama-sama memajukan diri, bangsa dan negara ini," ujarnya. - Bernama