Sebelum kejadian yang berlaku pada pukul 11.45 pagi itu, kanak-kanak perempuan terbabit bersama keluarganya telah menghadiri majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat Parlimen Besut di Dewan MDB tersebut.

Seorang saksi yang enggan dikenali berkata, kejadian berlaku sewaktu keluarga terbabit mahu pulang ke rumah selepas menghadiri majlis itu.

"Bapa kanak-kanak perempuan tersebut menghidupkan enjin kereta dan memasang pendingin hawa sebelum membawa masuk mangsa ke dalam kenderaan berkenaan.

"Dia dan isterinya kemudiannya beredar sebentar untuk membantu ibubapanya mereka yang uzur tidak jauh dari kenderaan itu sebelum menyedari anak mereka telah terperangkap di dalam kenderaan itu yang terkunci daripada dalam," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Dia berkata, ibubapa mangsa yang berusia dalam lingkungan 20-an panik apabila percubaan mereka untuk membuka kereta itu dari luar telah menemui kegagalan.

Menurutnya, mereka tambah panik anak perempuan mula menangis ketakutan sebelum dibantu orang ramai termasuk beberapa anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia yang kebetulan turut menghadiri majlis hari raya berkenaan.

"Usaha untuk menyelamatkan kanak-kanak perempuan itu akhirnya berhasil selepas 45 minit apabila cermin pintu penumpang kanak akhirnya berjaya diturunkan sedikit bagi membolehkan mangsa dibawa keluar," katanya.

Dia berkata, mangsa kemudiannya telah ditenangkan ibunya dengan memeluknya erat dan memberi minum air. - K! ONLINE