Dalam kejadian kira-kira pukul 6.20 petang itu, mangsa, Muhammad Jefrey Iskandar Abdullah, 8, dikatakan telah terjatuh ke dalam kolam berkeluasan 81 meter persegi berkenaan sebelum ditemui lemas oleh penduduk kampung kira-kira pukul 7 malam. 

Menurut ibunya, Mazuin Jasmi, 39, sebelum kejadian, anak keempat daripada enam beradik itu beriya-iya ingin mengikutnya ke kedai runcit berhampiran namun diminta untuk duduk di rumah bersama adik-beradik yang lain. 

"Apabila saya pulang, Jep (Jefrey) berlari keluar rumah untuk mengambil roti dan keropok yang saya beli tetapi adiknya terlebih dahulu telah mencapai beg plastik berisi makanan berkenaan lalu membuatkannya merajuk. 

"Saya nampak Jep duduk di tepi pokok sawit berdekatan rumah dan beberapa kali memanggilnya, namun dia hanya menjeling dan menarik tangan kakaknya berusia 11 tahun sebelum bergerak ke kawasan belakang rumah," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah di sini hari ini. 

Jelasnya, tidak lama kemudian anak perempuannya itu pulang ke rumah memaklumkan mangsa telah terjatuh ke dalam kolam ikan dengan kedalaman kira-kira dua meter itu. 

"Saya kemudian bergegas ke lokasi dan meminta tolong beberapa penduduk kampung untuk membawa naik jasad Jep. Pada waktu itu saya redha dan tahu saya telah kehilangannya kerana kolam itu dalam," katanya. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan A. Asmadi Abdul Aziz berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada pukul 7.45 malam. 

Katanya mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut. - K! ONLINE