Muhamad Arshad Daniel Halim, 12, atau Daniel mengalami ketumbuhan di bahagian belakang pinggangnya yang semakin  membesar dan keluar darah sejak sebulan lalu.

Ibu murid berkenaan, Zariah Wahab, 39, berkata, ketumbuhan sebesar mangkuk seberat lebih 500 gram itu semakin membesar dan menghalang anaknya untuk ke SK Chalil.
    
Katanya, setiap malam anaknya itu meraung kesakitan dan tidak lena tidur.

“Malam tadi keadaan sakit Daniel amat teruk sekali dan pengsan hampir satu jam bermula pukul 10 malam kerana terlampau sakit serta keluar darah banyak.

“Dalam seminggu hanya dua hari Daniel ke sekolah akibat penyakitnya itu,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar di sini hari ini.

Zariah berkata, Daniel adalah anak ketiga daripada lima adik-beradik dan lebih menyedihkan juga suaminya baru meninggal dunia sebulan lalu. 
   
“Saya sudah kehabisan ikhtiar tentang penyakit menimpa anak dan berharap ada pihak yang datang untuk membantu memulihkan penyakitnya itu.

“Sebelum ini saya sudah merujuk penyakit anak ke beberapa hospital namun doktor tidak dapat mengesan penyakitnya serta tidak mahu menanggung risiko untuk melakukan pembedahan,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Zariah Wahab di talian 01117800248 atau menyalurkan bantuan ke akaun Maybank miliknya di nombor 503042314686. - K! ONLINE