Dalam kejadian pukul 4.54 petang itu, Wong Yang Kiat yang melecur kira-kira 30 peratus pada belakang badan dan lutut menerima rawatan di wad kanak-kanak di Hospital Pantai, Ayer Keroh di sini selama lapan hari. 

Cerita ibunya, Chong Rou Shi, 31, kejadian malang itu berlaku ketika dia sedang memotong epal untuk diberikan kepada mangsa sebelum dapur kaca berkenaan yang sedang digunakan untuk memasak air meletup menyebabkan air panas mengenai badan anaknya. 

"Dapur tersebut dibeli oleh suami saya pada 28 Mei lalu dengan harga RM380 dan mempunyai waranti selama setahun. 

"Saya tidak sangka ia meletup dan menyebabkan anak bongsu cedera," katanya ketika ditemui Kosmo! selepas menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri Durian Tunggal, Mohd. Sofi Abdul Wahab di rumahnya hari ini. 

Menurut Rou Shi, keluarganya telah memaklumkan insiden itu kepada syarikat pengeluar bagaimanapun sehingga kini masih belum menerima sebarang maklum balas berkaitan ganti rugi. 

Sementara itu, Mohd. Sofi memberitahu, pihaknya akan membantu keluarga berkenaan dalam urusan tuntutan ganti rugi dan menyeru kepada semua syarikat pengeluar untuk memastikan produk yang dipasarkan terjamin dari segi keselamatan bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Insiden yang menimpa Yang Kiat tular di laman Facebook sehingga menimbulkan kemarahan netizen yang rata-rata mempertikaikan kualiti produk tersebut. - K! ONLINE