Suspek berusia 31 tahun itu diberkas kira-kira pukul 1.30 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara selepas siasatan polis mendapati wang itu telah dihabiskan untuk berjudi.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, suspek terdahulu memaklumkan bahawa telah disamun dua lelaki di kedai makan di Jalan Paip di sini pukul 1 petang selepas mengeluarkan wang sebanyak RM16,000 daripada sebuah bank di Meru.

Katanya, kedua-dua penjenayah yang menaiki motosikal Honda EX5 dikatakan menarik beg sandang dan mengambil semua wang miliknya sebelum suspek terus membuat laporan polis.

"Hasil siasatan mendapati tiada sebarang kes samun berlaku dan suspek mengakui membuat laporan polis palsu kerana bimbang dimarahi ibunya.

"Suspek juga mengaku menggunakan wang bagi pembayaran gaji bernilai RM16,000 untuk bermain judi," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Nurulhuda menambah, siasatan turut mendapati suspek pernah membuat dua laporan palsu sebelum ini melibatkan sejumlah wang di Balai Polis Dang Wangi pada 2013 dan Balai Polis Meru pada 2015.

Ujar beliau, pihaknya masih menyiasat sama ada laporan palsu tersebut juga berkaitan dengan sikap suspek yang merupakan tahi judi itu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan," katanya. - K! ONLINE