Pemilik rumah produksi Pixel Play itu berkata, kempen yang bermula sejak 18 Jun dan berakhir 31 Julai tersebut merupakan inisiatif lain dalam pengumpulan dana untuk filem yang dijangka ditayangkan pada sambutan kemerdekaan tahun hadapan.

“Kempen ini dibuat untuk mengumpul dana bagi menjayakan filem yang diadaptasi daripada kisah benar. Sebenarnya bajet yang diperlukan untuk filem ini adalah sebanyak RM4.4 juta, namun kami hanya memerlukan RM2 juta sumbangan ikhlas dari peminat.

“Kami juga telah memohon dana dari Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) tetapi ia masih dalam perbincangan. Sehingga kini kutipan untuk projek telah mencecah RM6,747,” katanya yang dihubungi Kosmo! hari ini.

Tambah pelakon filem Ola Bola itu, pihaknya telah menyediakan beberapa cenderahati istimewa seperti pelekat kereta, cawan, beg, baju-T serta tiket ke tayangan gala filem itu pada 23 Ogos tahun hadapan kepada mereka yang menderma.

Bukan itu sahaja, dia juga menjanjikan sebuah filem yang mampu memberi inspirasi kepada penonton kerana bakal memaparkan usaha Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohammad, Bekas Gabenor Bank Negara, Ismail Ali dan bekas Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim untuk membeli aset milik negara luar.

“Kami menawarkan pakej cenderahati berbeza buat setiap nilai yang didermakan. Derma boleh dibuat bermula dari nilai RM 5 hingga RM250.

“Terdapat kelainan dalam filem ini. Kami cuba menghasilkan filem yang bukan sahaja menghiburkan, namun ia memberi inspirasi kepada generasi kita dan akan datang,” ujarnya.

Bagi mereka yang ingin memberikan sumbangan bolehlah melayari www.reward.pitchin.my/projects/dawn-raid-the-hands-that-rattled-the-queen. - K! ONLINE