Sudah tentu pelbagai acara bertaraf dunia akan rancak dilangsungkan dan paling dinanti-nantikan oleh peminat-peminat sukan di muka bumi adalah kejohanan Piala Dunia Rusia 2018.

Selain Piala Dunia, kejohanan lain yang turut memenuhi kalendar tahun depan ialah Sukan Olimpik Musim Sejuk di Pyeongchang, Korea Selatan pada Februari, Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia (April) serta Piala Thomas dan Piala Uber 2018 di Bangkok, Thailand (Mei).

Turut memeriahkan acara sukan tahun depan ialah Sukan Asia ke-18 di Jakarta dan Palembang, Indonesia (Ogos) serta Hoki Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India (November).

Bagaimanapun, penulis mahu memberi tumpuan terhadap kejohanan bola sepak Piala Dunia yang akan membuka tirai pada 14 Jun depan antara pasukan tuan rumah, Rusia menentang Arab Saudi di Stadium Luzhniki, Moscow.

Sebaik selesai undian peringkat kumpulan kejohanan di Moscow pada 1 Disember lalu, penulis melihat pasukan-pasukan pilihan dijangka tidak berdepan masalah untuk melangkah ke peringkat kalah mati.

Rusia yang dijangka membelanjakan kira-kira $13.2 bilion (RM53.93 bilion) untuk penganjuran kejohanan itu diramalkan tidak bermasalah melangkah jauh bersama Uruguay manakala Arab Saudi dan Mesir hanya berstatus kuda hitam untuk melangkah ke peringkat seterusnya dalam Kumpulan A.

Bagi Kumpulan B pula, juara Piala Euro 2016 iaitu Portugal dilihat hanya bersaing dengan Sepanyol untuk menjuarai peringkat kumpulan. Perancis yang berada dalam Kumpulan C juga bakal bersaing merebut juara kumpulan dengan Denmark.

Bagaimanapun, Argentina yang berada dalam kumpulan D dilihat akan berjaya memperoleh sekurang-kurangnya satu tempat untuk mara ke peringkat seterusnya, paling tidak sebagai naib juara kumpulan.

Juara Piala Dunia sebanyak lima kali, Brazil mempunyai laluan paling mudah apabila diundi bersama Switzerland, Costa Rica dan Serbia sekali gus muncul juara kumpulan E.

Sementara itu, Jerman dijangka tidak berdepan kesukaran menduduki takhta Kumpulan F. England dan Belgium yang berada dalam kumpulan G diramalkan menjadi dua pasukan paling awal mara ke peringkat kalah mati.

Poland yang diundi dalam Kumpulan H dijangka merajai takhta. Namun, ramalan oleh super komputer pula mendapati beberapa pasukan yang disebutkan tadi ada yang tersenarai untuk melangkah ke peringkat kalah mati dan sebaliknya.

Super komputer meramalkan dua pasukan yang akan bertembung di pentas akhir ialah Brazil dan Argentina. Bagaimanapun, Brazil akhirnya dinobatkan sebagai juara Piala Dunia 2018 menerusi kemenangan 2-1 selepas diheret pada masa tambahan.

Apa pun, itu hanya ramalan di atas kertas dan analisis data oleh super komputer, mungkin peminat bola sepak mempunyai idea sendiri dalam menilai pasukan mana yang layak menjulang Piala Dunia Rusia 2018.