Tertuduh Khai­rul Izaini Khairuddin, 32, atau dikenali sebagai ‘Boy Tiger’ mengekalkan pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus ketika sebutan kes itu tadi.

Dia dijatuhi hukuman itu bermula daripada tarikh dia ditangkap iaitu 12 November lepas.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa sebagai orang yang mempunyai penjagaan ke atas mangsa berusia tiga tahun empat bulan dan didapati melakukan penderaan terhadap kanak-kanak lelaki itu sehingga mengakibatkan kematian.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Indah Permai dan sebuah rumah di Taman Ampang Saujana di sini antara Ogos 2017 hingga November lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Selepas dia dituduh di mahkamah sama pada 22 November lalu, tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak bagi menjalani pemeriksaan mental selama 30 hari selepas mendakwa mempunyai masalah mental.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Malek Fauzie memohon hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar diberikan hukuman ringan kerana dia merupakan penanggung tunggal keluarga dengan tiga anak yang masih kecil dan isteri yang tidak bekerja. - K! ONLINE