Bot itu berjaya dikesan oleh Maritim Malaysia (APMM), Tentera Laut Diraja Malaysia dan Pasukan Polis Marin yang melakukan rondaan kira-kira pukul 9.10 pagi.

Pengarah Maritim Wilayah Utara, Laksamana Pertama Maritim Rozali Mohd. Said berkata, seramai 56 pelarian terdiri daripada 19 lelaki dewasa, 17 perempuan dewasa serta lapan kanak-kanak lelaki dan 12 kanak-kanak perempuan berusia antara empat hingga 46 tahun berada di dalam bot tersebut.

"Kita telah memberikan bantuan awal seperti makanan, minuman serta perubatan yang diperlukan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, bot berkenaan diiring ke Jeti Kuala Kedah di sini untuk diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia negeri bagi proses selanjutnya mengikut prosedur kemasukan ke negara ini tanpa dokumen perjalanan sah.

"APMM memandang serius terhadap isu pencerobohan di seluruh perairan negara, namun atas dasar kemanusiaan, semua pelarian itu tetap diberi layanan baik dengan memberi makanan, minuman dan perubatan," tambahnya. - K! ONLINE