Timbalan Pengarah Maritim Wilayah Timur (Operasi), Kapten Maritim V. Pannir Selvan berkata, bot nelayan yang membawa mangsa itu dikatakan dalam perjalanan dari Pulau Perhentian menuju ke Pulau Lang Tengah dekat Setiu sebelum ia dipukul ribut dan kedua-dua mangsa telah terjun ke dalam laut menggunakan pelampung bagi menyelamatkan diri.

"Mangsa yang hilang, Mohd. Shairil Ibrahim, 35, dari Kampung Telaga Papan, Pasir Puteh, Kelantan dipercayai berpatah balik ke arah bot yang tenggelam untuk mengambil beg miliknya.

"Rakannya yang terselamat, Mohd. Saupi Ibrahim, 57, berasal Kampung Beris Panggong, Kuala Besut pula berjaya berenang ke daratan sebelum diselamatkan oleh sebuah bot nelayan lewat petang semalam," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Pannier Selvan berkata, lokasi pencarian pada hari ini dijalankan sekitar sepuluh batu nautika dari posisi bot yang karam dan ia akan diperluaskan jika mangsa masih belum ditemui. - K! ONLINE