Pengurus Pemasaran Bosch Automotive Aftermarket Malaysia, Go Boon Wah berkata, ramai beranggapan memiliki kereta baharu lebih baik kerana kos penyelenggaraannya lebih rendah tetapi hakikatnya ada juga kelemahannya.

Katanya, sekiranya membeli kereta baharu boleh membebankan dari aspek kewangan, maka disarankan membeli kereta terpakai yang masih dalam keadaan baik.

Katanya, sekiranya mahu membeli kereta, pembeli harus mengenal pasti bajet bagi mengetahui sama ada mampu atau tidak untuk membayar ansuran bulanan.

"Pemilik kereta juga perlu mempunyai pengetahuan mengenai penjadualan servis dan penyelenggaraan yang teliti bagi memastikan kualiti kenderaan tersebut dapat kekal lama.

“Justeru, saya setuju sekiranya memiliki kenderaan pertama adalah isu yang besar kerana banyak faktor yang perli dititikberatkan namun ia boleh ditangani sekiranya individu terbabit mempunyai kesedaran tinggi untuk menjaga kenderaan mereka dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada bengkel First Car Big Deal anjuran Bosch dengan kerjasama Allianz Malaysia dan RinggitPlus Malaysia di Robert Bosch, Petaling Jaya hari ini.

Turut hadir Pengasas dan Pengarah Urusan RinggitPlus Malaysia, Hann Liew, dan Ketua Bahagian Francais Aliianz, Sazali Abd. Rahman.

Boon Wah memberitahu, pemilihan lokasi servis menawarkan harga yang berpatutan, alat ganti berkualiti dan perkhidmatan pelanggan yang terbaik adalah penting bagi memastikan ia menepati bajet dan elak daripada ditipu.

"Selain itu, sentiasa pastikan kereta anda mempunyai perlindungan insurans komprehensif yang menyeluruh dan atau sekurang-kurangnya memiliki pelindungan insurans pihak ketiga.

'"Oleh itu, sebelum membeli kereta, buatlah perbandingan dan rujuk terlebih dahulu dengan jurujual kereta, ahli keluarga terdekat dan sahabat," ujarnya. - K! ONLINE