BookXcess Kong Heng Square terletak di premis dua tingkat yang dahulunya merupakan sebuah bank sebelum diubahsuai tetapi masih mengekalkan seni bina asal.

Ia merupakan premis kedua BookXcess di luar Lembah Klang selepas Gurney Paragon Mall di George Town, Pulau Pinang.

Pemilik BookXcess, Andrew Yap berkata, cawangan baharu itu yang berkeluasan kira-kira 33,000 meter persegi menawarkan lebih 50,000 buah buku dengan harga 50 hingga 80 peratus lebih murah daripada harga pasaran.

Katanya, ia meliputi pelbagai topik termasuk fiksyen, seni, novel remaja dan rekaan dan buku kanak-kanak terutama dalam bahasa Inggeris.

"Uniknya premis ini dahulunya bangunan bank, jadi reka bentuk serta suasana bank lama masih dikekalkan bagi mencipta satu pengalaman baharu kepada orang ramai.

"Tingkat bawah yang dahulunya menempatkan lima bilik kebal telah diubahsuai bagi menempatkan rak-rak buku," katanya semasa melancarkan kedai buku itu.

Tambah Andrew, pihaknya yakin pembukaan kedai buku tersebut menjadi satu lagi tarikan baharu pengunjung ke  bandar itu terutama sekitar Concubine Line dan lain-lain bangunan bersejarah yang terletak berdekatan.

"Kami juga berharap pembukaan premis ini dapat memenuhi permintaan warga Perak terutamanya yang mahukan buku pada harga mampu milik.

"Sempena pembukaan premis baharu ini kita menawarkan diskaun tambahan 20 peratus ke atas semua buku serta barang-barang bukan buku sehingga Ahad ini," jelas beliau.

Selain daripada buku-buku, satu ruang di tingkat bawah turut menempatkan galeri mini 'Yasmin at Kong Heng' yang mempamerkan hasil karya pengarah tersohor, Yasmin Ahmad.

Galeri berkenaan dibuka kepada orang ramai yang berkunjung ke BookXcess Kong Heng. - K! ONLINE