Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, permohonan tersebut merupakan antara usaha bagi menjaga kebajikan anggota bomba yang masih belum memiliki rumah sendiri. 

"Saya akan adakan pertemuan dengan Menteri Besar dalam masa terdekat untuk memohon pertimbangan menyediakan kuota khas bagi anggota berpangkat rendah memiliki rumah pertama. 

"Anggota bomba khususnya di Selangor hampir 60 peratus adalah orang luar malah kebanyakannya tergolong dalam golongan B40 jadi kita akan cuba bantu mereka untuk miliki rumah sendiri," katanya ketika ditemui selepas menghadiri program Pemeriksaan Kit Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bangi, di sini hari ini.

Menurut Norazam, anggota bomba juga digalakkan untuk menyertai koperasi bomba memandangkan masih ada lagi segelintir mereka yang masih belum berbuat demikian. 

“Pelbagai faedah dan kemudahan akan diperolehi sekiranya berdaftar dengan koperasi bomba, sebagai contoh sekiranya berlaku kematian waris boleh dapat hampir RM100,000, kalau meninggal semasa bertugas pula akan terima lebih daripada itu, kita akan tumpu usaha untuk tarik mereka menyertai koperasi," jelas beliau. 

Dalam pada itu, Norazam berkata, Selangor muncul negeri paling banyak menerima panggilan lecemasan iaitu sebanyak 20,591 panggilan sepanjang tahun lalu.

“Untuk kes kebakaran pula, sebanyak 7, 233 kes direkodkan sementara 13, 283 adalah kes penyelamatan dan 69 kes khidmat khas,” katanya. - K! ONLINE