Ketua Pengarah JBPM, Mohammad Hamdan Wahid berkata, setakat ini sebanyak 294 balai bomba dan penyelamat beroperasi di seluruh negara dengan seramai 15,000 pegawai dan anggota bomba serta dibantu sejumlah 350 unit pasukan bomba sukarelawan.

"Buat masa ini, JBPM masih berada pada peringkat penyelarasan sebelum Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan membina balai bomba yang baharu di kawasan yang memerlukan di seluruh negara.

"Pembinaan balai bomba ini adalah satu keperluan, sebagai contoh, kebakaran di kuarters kediaman guru Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Bungan, Mulu, Sarawak pada Rabu  lalu dipadamkan oleh unit penyelamat Bomba, Lapangan Terbang Mulu, di bawah kendalian Malaysia Airports Holdings Bhd," katanya kepada pemberita selepas tamat acara Larian Bomba 2018 di Dataran Merdeka, di sini, hari ini.

Mohammad Hamdan berkata kawasan Mulu tidak mempunyai balai bomba, justeru bantuan pasukan Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang Mulu itu penting.

"Selain pembinaan balai bomba yang baharu, JBPM akan mempertingkatkan  latihan bagi pasukan bomba sukarelawan di seluruh negara agar mereka sentiasa bersiap sedia  menangani sebarang kejadian bencana, kebakaran, kemalangan dan kerja-kerja menyelamat," katanya. - Bernama