Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Miri, Law Poh Kiong berkata, mesej tular tersebut adalah palsu kerana bomba Miri tidak pernah membenarkan mana-mana pihak untuk melaksanakan program di premis milik Bomba Miri seperti dinyatakan dalam mesej tersebut.

"Orang awam yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi Balai Bomba Miri 085-420991 untuk memastikan kesahihan maklumat," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Selain taklimat kerjaya dan temuduga khas, mesej palsu itu juga menghendaki ibu-bapa membuat bayaran pra-pendaftaran RM300 serta membawa slip SPM anak ke lokasi program tersebut di Bomba Miri Jumaat ini dari pukul 9.30 pagi hingga 2 petang.

Mesej tersebut mendakwa menawarkan biasiswa serta elaun dalam bidang penguatkuasaan, forensik dan bank khusus untuk kerjaya seperti anggota polis, kastam, wataniah serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). - Bernama