Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pulau Pinang, Superintendan Wan Sharuddin Wan Omar berkata, adalah tidak menjadi kesalahan untuk membawa basikal pada bumbung kenderaan, namun mestilah mengikut spesifikasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Tindakan lanjut sedang diambil untuk menyemak saman yang dikeluarkan oleh anggota terbabit kerana (kesalahan) tidak mengikut spesifikasi yang di tetapkan oleh JPJ," katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.

Terdahulu tular di media sosial apabila  gambar sekeping surat saman yang dikeluarkan terhadap seorang pemandu telah dimuat naik oleh pengguna media sosial.

Surat saman yang dikeluarkan semalam itu memaparkan pemandu terbabit didapati melakukan kesalahan membawa muatan cara bahaya di Jalan Sultan Azlan Shah di sini.

Surat saman itu turut disertakan gambar SUV terbabit yang di atas bumbungnya diletakkan sebuah basikal secara berdiri yang dipasang pada rak khas.

Rata-rata netizen terutamanya penggemar sukan berbasikal menyuarakan ketidakpuasan hati berhubung saman yang dikeluarkan tersebut.

Dalam pada itu Wan Sharuddin berkata, mengikut spesifikasi JPJ, antara yang perlu diberi perhatian dalam memasang para bumbung ialah ia mesti dipasang dengan kukuh pada kenderaan.

"Selain itu, ukuran tinggi para mestilah tidak lebih 230 milimeter dari paras atas bumbung dan lebar serta panjang mestilah tidak lebih luas bumbung.

"Mana-mana kenderaan tidak boleh bawa muatan yang mengunjur melebihi belakang, hadapan atau tepi badan kenderaan serta unjuran basikal mestilah tidak melebihi bahagian hadapan, belakang dan tepi bumbung serta diikat kemas," katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata, adalah menjadi kesalahan sekiranya pemandu mengangkut basikal menggunakan rak khas pada bahagian belakang kenderaan.

"Ini kerana ia menganggu pandangan nombor plat, lampu brek ketiga dan menghalang pandangan belakang pemandu.

"Sekiranya pemandu berbuat demikian, dia boleh disaman," katanya lagi. - K! ONLINE