Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sehubungan itu BN perlu bersiap sedia dan mengatur strategi untuk mendekati serta menyakinkan golongan muda tersebut.

"BN perlu bersedia lebih awal bagi untuk mendekati dan meyakinkan anak-anak muda ini bagi memastikan mereka bersama kita.

"Pengundi dalam PRU-15 akan bertambah sebanyak 8 juta orang menjadi 22.5 juta orang. Ini angka yang besar. Kena fikir elok-elok," katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Makkal Sakti Ke-11 di Nilai di sini hari ini.

Turut hadir Presiden Makkal Sakti, Datuk Seri R.S Thanenthiran; Presiden Kongres India Muslim Malaysia, Datuk Seri Syed Ibrahim Kadir; Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker dan Pesuruhjaya Pas negeri, Rafiei Mustapha.

Dewan Rakyat pada 16 Julai lalu meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Rang undang-undang itu mendapat sokongan 211 ahli Parlimen sekali gus meraih majoriti lebih dua pertiga daripada 222 bilangan Ahli Dewan Rakyat untuk diluluskan tanpa sebarang pindaan.

Dalam pada itu, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO mendakwa Malaysia sedang berdepan ketidakstabilan ekonomi dan politik disebabkan negara ditadbir oleh sebuah kerajaan yang kerap bergaduh sesama mereka.

Kata beliau, malah sejak awal lagi parti-parti dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) bergabung dan membentuk kerajaan bagi memenuhi agenda masing-masing. - K! ONLINE