Pengerusi BN Sarawak merangkap Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, keputusan untuk tidak menyertai PH adalah atas dasar kepentingan rakyat negeri itu.

Menurutnya, kerjasama kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan tetap dijalinkan kerana terdapat bidang kuasa terletak di bawah kerajaan pusat.

"Tidak, buat masa ini kita tidak menimbang untuk sertai PH.

"Kita akan menjalinkan hubungan kerjasama memandangkan terdapat beberapa bidang tertentu adalah di bawah kuasa kerajaan Persekutuan, itu sahaja,'  katanya ketika ditemui pemberita di sini malam tadi.

Abang Johari menegaskan, beliau tidak pernah membuat sebarang tawaran untuk bergabung dengan PH selepas kekalahan teruk BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

Berkenaan dengan pelaksanaan projek yang sedang dilaksanakan di Sarawak, beliau memberitahu, projek yang diumumkan oleh kerajaan negeri tidak akan terjejas kerana menggunakan peruntukan negeri.

"Tetapi, bagi projek kerajaan Persekutuan, saya akan menyerahkan kepada kepimpinan  kerajaan Persekutuan," ujarnya lagi. - K! OnNLINE