Warga Myanmar berkenaan, Mohd. Yunous Amir Hussein, 17, dipercayai meninggalkan motosikal jenis Yamaha 135LC yang ditunggangnya itu di atas lebuh raya tersebut selepas dia terjatuh di lokasi kejadian.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Mohd. Syazwan Saidy berkata, seorang pemandu dan empat penumpang kereta BMW itu terselamat dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 10.45 malam tersebut.

"Warga Myanmar itu dipercayai terjatuh sendiri di lokasi kejadian semasa dia dalam perjalanan dari Melaka ke Kuala lumpur untuk berjumpa abang dan kawannya.

"Dia dalam keadaan takut dan cemas menghubungi abangnya dan motosikalnya ditinggalkan di situ apabila abangnya tiba untuk membawanya ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ). 

"Kemudian sebuah BMW dari Taman U, Skudai, Johor menuju ke Rawang, Selangor atas urusan cuti dan sembahyang terlanggar motosikal itu dan menyebabkan kereta itu terbakar," katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Mohd. Syazwan berkata, pemandu dan penumpang kereta BMW tersebut terdiri daripada empat sekeluarga berusia antara 21 hingga 51 tahun sempat keluar daripada kenderaan itu sebelum 100 peratus terbakar.

Menurut beliau, beberapa orang awam cuba membantu memadamkan kebakaran itu menggunakan dua tabung alat pemadam api, tetapi gagal dan menghubungi pihak bomba pada pukul 10.51 malam.

Jelas beliau, seramai 11 pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 bersama dua buah jentera dikerahkan memberi bantuan sejurus laporan diterima.

"Kejadian itu menyebabkan kesesakan lalu lintas sepanjang kira-kira 10 kilometer," katanya. - K! ONLINE