“Filem ini biasa-biasa sahaja.” 

Itu antara beberapa komen negatif terhadap filem terhangat di pasaran global saat ini, Black Panther yang sampai ke pengetahuan penulis. 

Mungkin ada yang pelik kenapa wujud juga kritikan negatif terhadap naskhah filem yang dikatakan bakal membawa kepada suatu revolusi terhadap industri perfileman di Hollywood, khususnya dari segi penampilan karakter utama dalam filem adiwira terbitan Marvel Studios di bawah naungan syarikat Marvel Cinematic Universe (MCU) itu.

Ketepikan kritikan-kritikan negatif tersebut yang bagi penulis lebih kepada merupakan kes terpencil, kerana apa yang menjadi fokus sekarang ialah impak naskhah arahan pengarah kulit hitam, Ryan Coogler itu ternyata mempunyai impak penting yang tersendiri.

Sebelum ini Black Panther (lakonan Chadwick Boseman) ditampilkan sebagai salah satu karakter adiwira kulit hitam sebagai sebagai watak sokongan bersama dua lagi adiwira kulit hitam iaitu War Machine (dilakonkan oleh Don Cheadle) dan Falcon (Anthony Mackie)­ dalam filem Captain America: Civil War (2016).

Namun ia sebenarnya merupakan filem pertama yang menampilkan tiga adiwira kulit hitam dalam sebuah filem yang sama. Sedar atau tidak, itu langkah awal terhadap dalam mencetuskan revolusi di Ho­llywood, khususnya dalam menampilkan pelakon kulit hitam untuk karakter adiwira utama.

Dan apabila karakter Black Panther diberi peluang muncul sebagai adiwira utama dalam naskhah Black Panther, kini ia menyuntik keyakinan buat MCU untuk menerbitkan beberapa buah lagi filem yang menampilkan pelakon kulit hitam untuk karakter adiwira utama.

Antara yang diperkatakan ialah karakter adik Black Panther, Shuri yang ditampilkan dalam naskhah Black Panther dikatakan berpotensi besar untuk diketengahkan sebagai adiwira Iron Man baharu versi wa­nita dan kulit hitam. 

Keyakinan itu sudah tentu dicetuskan oleh kejayaan pecah panggung Black Panther yang kini sukses mengumpul kutipan mencecah AS$1 bilion (RM3.91 bilion) dalam tempoh 26 hari hasil tayangannya di pawagam seluruh dunia.  

Naskhah tersebut kini menyertai kumpulan elit filem dengan kutipan mencecah AS$1  bilion yang dianggotai 32 buah filem lain dengan naskhah terbitan 2009, Avatar mengungguli carta filem terlaris di dunia dengan kutipan terkumpul mencecah AS$2.7 bilion.

Black Panther juga menjadi filem adiwira terbitan Marvel Studios yang bernaung di bawah  kelima berjaya mencecah kutipan AS$1 bilion  dan  selepas The Avengers (2012), Avengers: Age of Ultron (2015), Iron Man 3 (2013) dan Captain America: Civil War.

Dan sejarah tercipta apabila Black Panther merupakan filem MCU pertama yang berjaya mencecah kutipan AS$1 bilion tanpa menampilkan karakter Iron Man.

Dengan desas-desus mengatakan Iron Man menemui ajal dalam filem adiwira terbaharu, Avengers: Infinity War yang bakal ditayangkan menjelang hujung April ini, mungkinkah ini menjadi petunjuk kepada bahawa Shuri benar-benar akan muncul sebagai Iron Man versi baharu kelak?

Sama ada ia menjadi suatu kenyataan atau sebaliknya tinggal sebagai gosip semata-mata, namun apa yang nyata Black Panther telah memberikan impak cukup bermakna.

Seperti kata bekas Wanita Pertama Amerika Syarikat, Michelle Obama menerusi Twitter miliknya yang berbunyi: “Black Panther akan menjadi inspirasi kepada individu daripada semua latar belakang untuk berusaha keras dan menemui suatu keberanian bagi menjadi hero dalam kisah hidup masing-masing.”