Semalam, bintang filem terkenal dari India, Kamal Haasan menerusi rakaman video secara terbuka menyatakan sokongan kepada Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat itu.

Menyifatkan Anwar sebagai pemimpin hebat dan memahami golongan bawahan, Kamal yang juga merupakan seorang ahli politik di India percaya Anwar sebagai ahli parlimen merupakan berita baik kepada hubungan antara kedua-dua negara.

"Port Dickson berpeluang menulis bab baharu dalam sejarah politik Malaysia dengan mengembalikan Anwar ke Parlimen dan Malaysia secara amnya.

"Saya mengharapkan yang terbaik bagi perjalanan politik Anwar dan rakyat Malaysia," katanya dalam rakaman video berkenaan yang tersebar secara meluas semalam.

Sejumlah 21.4 peratus daripada lebih 75,000 pengundi Port Dickson adalah berketurunan India.

PRK Port Dickson yang akan berlangsung pada 13 Oktober ini bakal menyaksikan pertarungan tujuh penjuru antara Anwar; calon Pas, Leftenan Kolonel (B) Mohd. Nazari Mokhtar dan lima calon Bebas termasuk bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad. - K! ONLINE