Ini kerana, rumah-rumah mahal yang berharga lebih daripada RM250,000 sebenarnya hanya mampu dimiliki oleh golo­ngan berkemampuan atau golongan tertentu sahaja dan bukannya oleh golongan rakyat kebanyakan.

Secara hakikatnya, rumah-rumah yang berharga RM250,000 di bandar-bandar besar mungkin kelihatan agak rendah, namun kebanyakan rumah-rumah itu sebenarnya tidak sepadan dengan harga yang ditawarkan oleh pemaju.

Sebagai contoh, memang ada dalam kalangan pemaju menjual rumah dengan harga dalam lingkungan RM250,000 sebuah tetapi malangnya rumah yang dijual pada harga itu biasanya hanya untuk kediaman bersaiz terlalu kecil seperti kediaman studio yang hanya mempunyai satu bilik. Malah, ada sesetengahnya tidak ada bilik pun.

Keadaan itu sudah tentu akan menimbulkan masalah kepada pembeli terutamanya dalam kalangan mereka yang berkeluarga dan berpendapatan sederhana atau rendah untuk membelinya walaupun harga itu kelihatan seperti mampu untuk mereka miliki.

Mereka yang berkeluarga sudah tentu tidak akan membeli rumah seperti itu kerana mereka sebenarnya mahukan rumah yang lebih sesuai yang sekurang-kurangnya mempunyai tiga bilik untuk keperluan keluarga mereka.

Untuk mereka membeli rumah yang bersaiz besar pula seperti apartmen tiga bilik atau rumah teres dua tingkat misalnya, harganya pula sudah pasti akan melebihi RM350,000 yang sudah tentu akan menimbulkan kesukaran untuk golongan tersebut untuk memilikinya.

Akhirnya, rumah-rumah tersebut akan sukar untuk dijual kerana kediaman seperti itu hanya akan mampu dibeli oleh golongan berada yang sudah mempunyai beberapa unit rumah lain, manakala golongan yang benar-benar memerlukan rumah akan terus-menerus sukar untuk membeli rumah sendiri.

Oleh itu, kita berharap agar pihak berkuasa dapat meneliti secara serius mengenai keadaan ini supaya lebih banyak rumah yang bersesuaian dengan kehendak pembeli dibina pada harga yang munasabah.

Para pemaju perlu turut sama memainkan peranan dalam membantu rakyat kebanyakan ini supaya lebih ramai golongan yang benar-benar memerlukan kediaman dapat memiliki rumah sendiri.

Dalam erti kata lain, walaupun rumah yang dijual itu berharga RM250,000, namun saiznya biarlah bersesuaian dengan keperluan untuk sesebuah keluarga supaya golongan rakyat yang ramai dapat memenuhi keperluan kediaman mereka.

Jika tidak, golongan tersebut akan terus-menerus hidup menyewa dan akan sukar untuk membeli rumah sendiri.

Secara umumnya, secara puratanya ramai dalam kalangan yang baru bekerja dan telah berumah tangga khususnya yang berumur dalam lingkungan sekitar 30 tahun mempunyai pendapatan sekitar RM5,000 sebulan.

Jadi, dengan pendapatan sebanyak itu, sudah tentu sukar untuk mereka membeli kediaman yang harganya melebihi RM250,000.

Jika ada pun dalam golongan itu yang pinjaman perumahan diluluskan oleh pihak bank, pastinya kebanyakan pembeli terbabit terpaksa membuat bayaran balik pinjaman yang dibuat untuk satu tempoh yang panjang sehingga 35 tahun.

Dalam erti kata lain, mereka akan berhutang dengan pihak bank sehingga ke umur tua, malah ada yang masih terbeban dengan hutang perumahan walaupun selepas usia pencen.

Sehubungan itu, pihak berkuasa perlu berusaha bersungguh-sungguh dalam mencari alternatif untuk menggalakkan para pemaju supaya membina lebih banyak rumah mengikut kemampuan serta keperluan rakyat dan bukannya terlalu fokus untuk membina rumah-rumah mewah demi mengejar keuntu­ngan yang besar semata-mata.