Paling menarik perhatian penulis apabila beliau mengulas panjang lebar tentang prestasi skuad Harimau Malaya sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Katanya, tiada apa lagi yang boleh diharapkan dengan barisan pemain sedia ada, cukuplah dengan apa yang mereka lalui.

Menurutnya lagi, sekarang bukannya masa menuding jari menyalahkan mana-mana pihak. Pada penghujung pertemuan kami malam itu, satu cadangan dilontarkannya kepada penulis–Malaysia harus bina semula legasi baharu sukan bola sepak.

Apabila seorang legenda bercakap begitu, penulis terus teringat kata-kata pengendali skuad Bawah 19 tahun (B-19) negara, Bojan Hodak. Secara terbuka, Hodak mengakui Malaysia berada 10 tahun di belakang Korea Selatan. Kenyataan Hodak itu hadir sejurus kekalahan 0-3 anak-anak buahnya di tangan Korea Selatan dalam saingan kelayakan Kejohanan AFC B-19 minggu lalu.

Bagi penulis, apa yang dikatakan oleh ‘otai bola’ dan Hodak itu ada benarnya. Tidak keterlaluan jika dikatakan Malaysia harus bermula semula dari bawah. Malaysia memerlukan perubahan besar dalam aspek pemba­ngunan pasukan. Untuk mendapatkan keputusan positif, Malaysia memerlukan masa. Mungkin lima tahun, mungkin 10 tahun atau mungkin tempoh yang lebih panjang.

Tidak ada apa lagi yang boleh dikerah daripada pasukan yang ada. Kelmarin, satu lagi episod malang menimpa bola sepak Malaysia apabila skuad Harimau Malaya gagal menempah tiket Piala Asia 2019. Apa yang penting sekarang adalah fokus pada masa depan dengan penumpuan lebih terarah di peringkat akar umbi.

Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) boleh dianggap medan terbaik mencungkil serta melahirkan bakat-bakat baharu. Namun, adakah itu mencukupi membina falsafah baharu bola sepak Malaysia?

Difahamkan, NFDP kini memiliki hampir 23,000 pelatih di 123 buah akademi di seluruh negara. Ia melibatkan pemain seawal usia tujuh hingga 17 tahun. Jika tiada halangan, NFDP bakal mencapai 50,000 pelatih menjelang tahun 2020. Melihatkan angka tersebut, kita sepatutnya tidak risau untuk melihat DNA baharu bola sepak Malaysia.

Sudah tentu daripada jumlah tersebut, tidak semuanya akan bergelar pemain bola sepak profesional tetapi jika kena acuannya, Malaysia mampu melahirkan pemain berkualiti. Penulis berpendapat, penanda aras pertama untuk melihat keberkesanan NFDP ialah skuad B-16 negara kendalian Lim Teong Kim. Jika mereka layak beraksi dalam kempen Piala Dunia Remaja B-17 pada 2019, ia mungkin menjadi petanda awal ada sinar baharu dalam bola sepak Malaysia.

Rasanya tidak cukup cerita bola sepak Malaysia jika penulis tidak mengulas sedikit tentang persiapan pa­sukan-pasukan yang bakal bersaing dalam kempen Liga Malaysia musim depan. Ketika ini, setiap pasukan begitu ligat memperkasa barisan pemain dan juga saf kejurulatihan mereka. Bagi pasukan kaya, mereka tidak ada masalah berbelanja besar tetapi bagaimana pula pasukan yang mempunyai bajet kecil.

Kepada pasukan-pasukan yang kantungnya tidak seberapa, berbelanjalah penuh berhemah. Jangan sampai menang sorak, kampung tergadai. Memang benar, kuasa wang sukar untuk dinafikan tetapi wang ringgit bukan segala-galanya bagi menggapai kejayaan yang diimpikan.

Akhir sekali, penulis berharap Liga Malaysia musim depan tidak lagi dibelenggu dengan beberapa isu yang kurang enak didengar seperti masalah pembayaran gaji kepada pemain mahupun jurulatih. Paling penting, cerita dakwaan rasuah melibatkan pemain atau jurulatih tidak lagi kedengaran dalam kancah Liga Malaysia.