Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata kekurangan bilangan penjaga warga emas itu diperlu ditangani dengan memperbanyak latihan untuk memudahkan penjagaan kepada golongan berkenaan.

"Latihan juga perlu diperbanyakkan kerana penjagaan golongan ini memerlukan kesabaran dan penjagaan rapi bagi mengelakkan timbulnya kes penganiayaan.

"Nisbah yang saya terima ketika ini (seluruh negara) adalah 10 orang pesakit bagi seorang penjaga. Nisbah ideal sepatutnya adalah seorang penjaga untuk empat orang pesakit.

"Saya difahamkan, nisbah ini meningkat kepada 12:1 apabila waktu malam. Namun syukur kebanyakan pusat penjagaan tidak melibatkan kes-kes kronik," katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan ke Rumah Ehsan, Kuala Kubu Bharu, di sini kira-kira 60km dari Kuala Lumpur hari ini. 

Tanpa menyebut jumlah warga tua di negara ini, Dr Wan Azizah berkata Malaysia sedang  menuju ke 'negara tua' kerana kadar kelahiran kini rendah.
Berikutan keadaan ini, 15 peratus daripada jumlah rakyat Malaysia akan terletak di dalam kategori bawah 60 tahun menjelang tahun 2030.

Terdahulu, Dr Wan Azizah membuat kunjungan pertamanya ke rumah tersebut yang menempatkan 109 penghuni lelaki dan wanita.

Beliau mengambil peluang bertegur  sapa dan bertanya khabar sambil memegang bahu, tersenyum dan menenangkan penghuni yang ditemuinya dalam lawatan kira-kira dua jam.

Terpancar riak wajah gembira kalangan warga emas di rumah itu dan tidak kurang juga yang dilihat terharu sebaik Dr Wan Azizah menyapa mereka yang duduk, bersandar dan ada yang terbaring di katil masing-masing.

Dr. Wan Azizah, yang juga Anggota Parlimen Pandan, turut menyampaikan sumbangan daripada Yayasan Kebajikan Negara (YKN) serta beg cenderahati mengandungi buah-buahan, air kotak, kain batik, kain pelikat dan biskut sebagai buah tangan kepada penghuni di rumah penjagaan orang tua yang dibina sejak 1998.
-- BERNAMA