Pengarah Panorama Langkawi, Datuk Azizan Noordin berkata, perjalanan menaiki kereta kabel yang menjadi tarikan utama pelancong di pulau ini sejak lebih 15 tahun lepas, disasarkan untuk menerima 1.5 juta pengunjung berbanding 1.2 juta yang direkodkan tahun lepas.

"Berdasarkan bilangan pelancong yang datang selepas kejadian itu Februari lepas, ternyata ia tidak memberi sebarang kesan negatif dan tidak menghalang pelancong daripada terus menaiki kereta kabel itu," katanya ketika ditemui selepas majlis berbuka puasa anjuran Panorama Langkawi malam tadi.

Dalam kejadian 18 Februari itu, seramai 1,048 pelancong dan 78 kakitangan terkandas di puncak gunung serta di dalam kereta kabel apabila sistem mengalami kerosakan. Bagaimanapun, kesemua mereka selamat dibawa turun kira-kira tujuh jam kemudian.

Beliau berkata, sejak kejadian itu selain menggantikan bahagian dan kabel yang rosak, penyelenggaraan menyeluruh dilakukan oleh pembekal sistem, Doppelmayr Garaventa Group dari Austria. - Bernama