Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, siri FC (Putrajaya) yang menjadi perintis bidaan nombor pendaftaran kenderaan online berjaya mengutip bidaan sebanyak kira-kira RM3.11 juta dengan bidaan tertinggi bagi nombor FC1 berjumlah RM231,000.

Menurutnya, jumlah tersebut lebih tinggi daripada bidaan siri VDL (Kuala Lumpur) sebelum ini yang mengumpul jumlah kira-kira RM1.2 juta menerusi bidaan secara manual.

"Kementerian tidak meletakkan apa-apa sasaran dulu tetapi kita yakin bahawa kalau proses ini (JPJeBid) dilakukan, ia dapat meningkatkan (jumlah bidaan) daripada proses manual.

"Ini secara tidak langsung akan memberikan peningkatan kepada jumlah hasil kerajaan," katanya pada sidang akhbar di Kementerian Pengangkutan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Siew Fook berkata, bidaan akan dibuka selama lima hari bermula 21 Jun pada pukul 12 tengah malam hingga 25 Jun pukul 11.59 malam manakala keputusan pula akan diumumkan pada 26 Jun.

Menurutnya, harga bidaan dalam JPJeBid mengikut harga minima yang ditetapkan berdasarkan kategori iaitu Nombor Bernilai Utama (RM20,000), Nombor Menarik (RM3,000), Nombor Popular (RM800) dan Nombor Biasa (RM300) dengan kadar lima peratus kenaikan bidaan minima untuk setiap kategori tersebut.

"Kaedah pembayaran bidaan dalam JPJ eBid hanya menggunakan kad kredit dan debit tempatan.

"Tiada sekatan untuk melakukan bidaan namun setiap individu hanya layak untuk memenangi maksimum tiga nombor kenderaan manakala perniagaan atau syarikat tidak melebihi lima nombor kenderaan," katanya.

Pendaftaran boleh dilakukan di portal https://.jpjebid.jpj.gov.my atau melalui aplikasi mudah alih JPJeBid. Ia terbuka kepada warganegara Malaysia dan penduduk tetap berumur 18 tahun ke atas selain perniagaan atau syarikat berdaftar.

Orang awam atau syarikat yang tidak pernah mempunyai rekod di sistem Mysikap seperti rekod kenderaan, lesen atau saman dikehendaki membuat pendaftaran terlebih dahulu di mana-mana pejabat JPJ negeri dan cawangan JPJ kecuali UTC. - K! ONLINE