Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, nombor pendaftaran kenderaan itu malah menerima lebih 47 permohonan hanya dalam tempoh 20 minit ia dibuka untuk bidaan. 

"Orang ramai boleh membida nombor pendaftaran kenderaan sempena Hari Kebangsaan ini sehingga 15 Ogos dan keputusan akan diketahui pada 29 Ogos," katanya pada sidang akhbar di pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri di sini hari ini.

Beliau turut membida nombor pendaftaran kenderaan 'Malaysia 509' iaitu simbolik kepada Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei lalu dengan harga bidaan RM1,509. 

Tawaran bidaan untuk nombor pendaftaran kenderaan istimewa itu melibatkan 10,000 siri bermula dari 'Malaysia 1' sehingga 'Malaysia 9999'.

Siew Fook berkata, bagi nombor kategori bernilai utama iaitu 1 hingga 10 dibuka pada harga bidaan minimum RM10,000, nombor menarik (RM2,000), manakala nombor popular serta semasa masing-masing bermula dari RM300.

Menurut beliau, orang ramai boleh menghantar borang bidaan di pejabat JPJ negeri masing-masing, berbeza berbanding sebelum ini kerana hanya satu tempat bidaan iaitu di ibu negara.

Beliau berharap orang ramai membida nombor pendaftaran plat 'Malaysia' kerana ia dibuat sekali sahaja sekali gus menjana pendapatan untuk kerajaan.

"Kami tidak meletakkan sebarang sasaran kutipan, tetapi berharap dapat mengatasi jumlah tertinggi bagi siri nombor 'F' iaitu RM22 juta," katanya. - K! ONLINE