Pengumuman itu dibuat Bibi Ramjani menerusi satu kenyataan yang dimuat naik menerusi entri laman sosial Facebook miliknya hari ini.

Bibi Ramjani berkata, dia mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong yang selama ini berdiri teguh dibekalang pasukan Kelantan.

Menurutnya, dia memohon maaf kepada semua pihak sepanjang memimpin badan induk itu.

“Semoga KAFA maju jaya di bawah pengurusan baru,” katanya.

Usaha Kosmo! untuk mendapatkan komen lanjut berhubung perkara itu menemui jalan buntu apabila usahawan batik tersebut tidak menjawab panggilan.

Akhbar Kosmo! 13 Mei lalu melaporkan Bibi Ramjani meminta ahli gabungan KAFA mengemukakan nama calon yang mahu dibawa masuk bagi menggantikannya sebagai presiden baharu.

Terdahulu, Bibi Ramjani menerima desakan hebat apabila tujuh ahli gabungan KAFA iaitu Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) mahu mengemukakan usul undi tidak percaya bagi mendesak Bibi Ramjani supaya berundur untuk memberikan laluan kepada Kongres Luar Biasa (EGM) untuk memilih presiden baharu.

Tanggal 17 September 2017 lalu Bibi Ramjani melakar sejarah baharu dalam arena bola sepak Kelantan apabila dipilih sebagai Presiden KAFA bagi penggal 2018 hingga 2021.

Pada pemilihan itu Bibi Ramjani yang menerima 32 undi menewaskan seorang lagi calon Presiden yang juga Naib Presiden KAFA musim ini, Datuk Mohamad Nasir Hamzah (16) dalam Kongres Tahunan KAFA ke-63.

Bagaimanapun, proses pengundian terpaksa dilakukan dua kali selepas jumlah undi diperolehi Bibi Ramjani pada kali pertama sebanyak 32 undi iaitu tidak memenuhi kehendak perlembagaan persatuan yang memerlukan undian majoriti 35 untuk jawatan Presiden.

Bagaimanapun, keputusan pengundian kali kedua membabitkan 52 wakil Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) muktamad memilih Bibi Ramjani sebagai Presiden KAFA. - K! ONLINE