Jabatan Perkhidmatan Awam dalam satu kenyataan hari ini, berkata, tawaran biasiswa itu terdiri daripada enam di peringkat Kedoktoran (PhD) dan enam di peringkat Sarjana  dalam bidang Sains dan Teknologi, Ekonomi, Undang-undang dan Kewangan Islam.

"Biasiswa ini adalah untuk mengiktiraf kebolehan luar biasa seseorang calon dengan memberi peluang meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi,” kata JPA.

JPA berkata, permohonan boleh dibuat dengan mengisi Borang Biasiswa Yang di-Pertuan Agong Sesi Pengajian 2018/2019 secara dalam talian melalui portal http://esilav2.jpa.gov.my.

Tarikh tutup permohonan online dan tarikh akhir bagi mengemukakan borang permohonan pada 2 Mac ini.

Maklumat penawaran juga boleh diperoleh dengan melayari portal tersebut atau menghubungi talian 03-88853546/ 3053/ 3571.

JPA berkata, keutamaan diberikan kepada calon yang mendapat keputusan akademik yang amat cemerlang iaitu CGPA sekurang-kurangnya 3.75 atau kelas pertama atau setaraf dengannya di peringkat Ijazah Sarjana Muda/Sarjana serta bergiat aktif dalam aktiviti kemasyarakatan atau menghasilkan kerja-kerja kreatif dan inovatif.

"Keutamaan juga diberikan kepada calon yang mempunyai keupayaan yang luar biasa seperti penguasaan pelbagai bahasa serta kebolehan yang istimewa,”katanya.

"Calon juga hendaklah telah mendapat tawaran dan memulakan pengajian di universiti penyelidikan tempatan atau universiti terkemuka di dunia yang dipersetujui oleh JPA bagi sesi pengajian 2018/2019," katanya.

"Calon-calon yang layak dan berjaya disenarai pendek akan melalui proses pemilihan termasuk temuduga,”katanya.

JPA mengingatkan penerima biasiswa Yang di-Pertuan Agong terikat untuk berkhidmat di Malaysia untuk tempoh tidak kurang dari lima tahun. - Bernama