Sebelum Aksem diberi kuasa mengkoordinasi agensi-agensi penguat kuasa lain yang turut menjaga sempadan di seluruh negara, telah banyak isu panas berbangkit berhubung penugasan di sempadan. Antara pasukan keselamatan yang dominan dalam menjaga sempadan negara ialah Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Angkatan Tentera Malaysia dan Aksem sendiri.

Sempadan negara yang sentiasa menjadi tumpuan kerana didakwa banyak berlaku pembolosan melibatkan sempadan Malaysia-Thailand yang terletak di Perlis, Kelantan dan Kedah. Namun begitu, jangan ingat sempadan negara di Sabah dan Sarawak bebas daripada kes-kes pembolosan, penyeludupan atau rasuah.

Isu sama dirasakan turut berlaku di kawasan sempadan di Sabah dan Sarawak. Jika tiada pembolosan sudah tentu pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah pada tahun 2013 tidak berlaku. Cuma dalam hal ini, sempadan Malaysia-Thailand di Semenanjung menjadi fokus dalam kalangan badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin-pemimpin politik kerana sempadan di Semenanjung sangat popular sebagai pintu masuk rasmi bagi rakyat kedua-dua buah negara.

Antara pintu sempadan yang popular ialah Bukit Kayu Hitam (Kedah), Padang Besar (Perlis) dan Rantau Panjang (Kelantan). Keprihatinan terhadap isu sempadan di Semenanjung semakin ketara selepas sebuah akhbar mendakwa penyeludup hanya perlu mengangkat tangan bagi membawa barang salah melepasi pintu sempadan.

Sejak laporan itu diterbitkan, kerajaan secara drastik telah melakukan pelbagai penambahbaikan dari aspek kawalan sempadan. Antara perubahan drastik tersebut adalah semua penguat kuasa yang menjaga sempadan akan ditukar setiap tiga bulan sekali bagi menyekat terjalinnya hubungan antara penyeludup dan penguat kuasa.

Namun selepas begitu banyak perubahan dibuat, isu sempadan tetap sama malah terus panas dengan kegiatan penyeludupan, pembolosan manusia dan juga rasuah.

Mungkin jika dahulu penyeludup hanya perlu mengangkat tangan ketika melalui pemeriksaan tetapi penyeludup kini lebih pandai mencari jalan tikus atau membuat helah lebih licik. Disebabkan masalah itu juga Kementerian Dalam Negeri pada Jumaat lalu mengumumkan Akta Aksem 2017 mula dikuat kuasa.

Serentak dengan pelaksanaan Akta Aksem 2017 itu, agensi yang turut dianggotai polis, imigresen, kastam dan tentera ditugaskan menyelaras tugas-tugas kawalan di semua sempadan negara. Aksem sebelum ini dikatakan sukar menjalankan tugas menjaga sempadan daripada semua aktiviti jenayah kerana tidak ada akta sendiri untuk mendakwa pesalah.

Justeru, selepas pelaksanaan Akta Aksem 2017, semua ‘pemerhati sempadan’ kini sedang tunggu dan lihat apakah Aksem mampu menunaikan tanggungjawab membersihkan imej penugasan kawalan di sempadan.

Dalam perkembangan sama, kedengaran juga beberapa komen mengenai relevannya ‘keistimewaan’ yang diberikan kepada agensi itu. Aksem merupakan gabungan beberapa agensi penguat kuasa lain. Jadi apabila orang sama yang mentadbir dan menganggotai Aksem masalah sama tetap berlaku.

Tidak kurang juga yang berpendapat sudah terlalu banyak agensi yang menjaga sempadan. Kewujudan pelbagai agensi itu bukan sahaja memeningkan masyarakat negara ini bahkan pihak berkuasa negara jiran yang perlu memahami bidang tugas setiap agensi terbabit.