Saya lebih suka berehat dan memanjakan diri di tepi pantai.

Namun menerima jemputan daripada Permodalan Nasional Bhd. (PNB) untuk menyertai program retreat media ke Sabah baru-baru ini, telah membuatkan saya melanggar pantang sekali gus memaksa saya mencabar diri melakukan aktiviti lasak yang mungkin kurang sesuai untuk mereka yang berumur 45 tahun ke atas.

Program julung-julung kali itu dianjurkan bersempena sambutan ulang tahun ke-40 syarikat pelaburan terbesar di Malaysia.

Banyak program yang telah disusun sepanjang empat hari untuk wakil media mengikutinya termasuklah island hoping ke Pulau Sapi dan Pulau Manukan.

Setelah taklimat diberikan oleh seorang kakitangan daripada syarikat agensi pelancongan di situ, adrenalin saya meningkat dan teruja untuk mencuba aktiviti sea walking (berjalan di dalam dasar laut) di Pulau Manukan serta zipline iaitu aktiviti flying fox dari Pulau Gaya ke Pulau Sapi.

Saya teruja untuk mencabar diri mengikuti aktiviti sea walking meskipun ia mungkin berisiko bagi saya yang tidak tahu berenang apatah lagi menyelam.

Dari Pulau Sapi, saya dan wakil media perlu menaiki sebuah bot untuk dipindahkan ke sebuah bot lain yang sedia menunggu di tengah laut yang lengkap dengan peralatan menyelam dan sea walking.

Setelah memakai kasut bersesuaian, kami diberi taklimat mengenai aktiviti berkenaan termasuk cara-cara berkomunikasi di dalam air iaitu dengan mengguna isyarat jari.

Seorang demi seorang giliran wartawan turun dari bot tersebut hinggalah tibanya saat saya mencuba nasib, degupan jantung bertambah kencang tetapi cuba untuk memujuk diri agar lebih bertenang.

Setelah seluruh badan tenggelam di dalam air dan ketika kepala disarungkan dengan sebuah topi khusus berisi oksigen seperti yang dipakai oleh angkasawan untuk pernafasan, seorang penyelam yang sedia menunggu di belakang terus membawa saya turun ke dalam dasar laut.

“Masa turun ke dalam dasar laut, kamu perlu tutup mata dan mulut dan apabila kaki cecah ke bawah, bernafas lah seperti biasa, jangan panik,” kata seorang petugas pada sesi taklimat sebelum itu.

Dalam sekelip mata saya sudah berada di dalam dasar laut yang jaraknya hampir tujuh meter dari paras laut.

Ada dua lagi penyelam profesional yang membantu saya dan memberi arahan dalam bahasa isyarat untuk berdiri tegak meskipun agar sukar untuk mengimbangi diri kerana tekanan air dalam dasar laut terlalu kuat.

Saya juga diberi arahan untuk memegang besi di hadapan topi khas yang beratnya 37 kilogram itu untuk mengelakkan air masuk di dalam muka serta sebelah tangan lagi memegang besi seperti pagar yang telah ditanam di dasar laut berkenaan.

Perasaan takut itu semakin hilang sebaik sahaja saya dapat menyesuaikan diri dalam dasar laut itu dengan berzikir sepanjang masa.

Menghayati kehidupan dalam dasar laut yang cukup unik itu dengan timbunan batu karang serta ikan berwarna warni bermain-main di depan mata membuatkan mood saya berubah.

Lebih menarik, seorang lagi penyelam membawa kamera menangkap gambar kami dalam pelbagai aksi.

Pengalaman berada di dalam dasar laut dengan hanya bergantung kepada udara di dalam topi khas itu membuatkan saya cukup menghargai manfaat udara yang disedut di daratan tanpa sebarang masalah.

Kecantikan dan keunikan dasar laut juga membuatkan saya mensyukuri dengan kebesaran Tuhan Yang Maha Esa.

Disebabkan itu, pencinta alam sekitar sangat berasa marah sekiranya berlaku pencemaran laut daripada tumpahan minyak atau sampah dari kegiatan manusia tidak bertanggungjawab.

Lebih menarik, kemahiran dan pengalaman petugas serta penyelam profesional dalam membantu peserta menjayakan sea walking itu perlu diberi pujian.

Ini kerana mereka cukup terlatih untuk memastikan tahap keselamatan kami setiap saat bersama mereka dijaga dengan sebaiknya.