Menurut Pengerusi Persatuan Hijau dan Hidupan Liar Negeri Perlis (PNW), Syamil Abdul Rahman, spesies beruk itu biasanya hanya boleh ditemui di Thailand.

"Namun, sejak mula dikesan pada 2001, beruk ini turut ditemui di Taman Negeri Perlis, Wang Kelian di sini.

"Istimewanya mengenai beruk kentoi ini ialah haiwan ini akan mengalami keguguran rambut sehingga menjadi botak di tengah kepala tidak mengira spesies jantan atau betina.

"Selain itu, haiwan ini hanya mudah didapati di hutan-hutan daun lebar malar hijau tropika dan subtropika," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Muka haiwan ini berwarna merah jambu atau merah yang menjadi coklat atau hampir-hampir hitam apabila semakin tua dan kerap terdedah dengan cahaya matahari.

Difahamkan, terdapat 30 hingga 40 ekor beruk kentoi yang mendiami hutan tebal di Wang Kelian.

Wang Kelian bersempadan dengan Wang Prachan, Satun, Thailand. - K! ONLINE